Sunday, May 13, 2012

sosiolinguistik






Situasi ini merupakan situasi yang terakhir untuk tugasan Sosiolinguistik. Namun, ia tidak berakhir di sini sahaja, sekiranya terdapat kelapangan, aku akan sentiasa mengaktifkan blog Sosiolinguistik untuk berkongsi tentang bahasa dan masyarakat. Sekalung penghargaan buat pensyarah tersayang, Puan Husna Faredza yang telah memeberi peluang kepada aku untuk belajar mengenali apa itu blog. Sekiranya tidak ada tugasan seperti ini sudah pasti aku tidak berkemahiran untuk menghasilkan dan menguruskan blog ini. Jutaan terima kasih juga buat sahabat-sahabat yang banyak memberi tunjuk ajar dalam proses untuk membuat blog ini. 

Melalui blog ini, aku dapat mngetahui mengenai perkaitan bahasa dengan masyarakat. Itulah yang dikatakan ilmu Sosiolinguistik. Sosiolinguistik ialah kajian tentang bahasa yang berkaitan dengan masyarakat. Ia juga berkaitan dengan bentuk-bentuk tindakan manusia dalam masyarakat. Kesemua situasi yang dicoretkan dalam blog ini adalah berkaitan dengan bahasa dan masyarakat. 

Terdapat juga pendapat tokoh mengenai Sosiolinguistik.Contohnya ;
R.Appel menyatakan sosiolinguistik ialah kajian tentang bahasa dan pemakaian bahasa dalam hubungannya dengan masyarakat dan kebudayaan. 

Nikolas Coupland &Adam Jaworski pula menyatakan sosiolonguistik ini sebagai kajian tentang bahasa dalam konteks sosialnya dan kajian kehidupan sosial melalui linguistik. 
P.W.J Nababan menaytakan sosiolinguistik sebagai kajian atau pembahasan dari bahasa sehubungan dengan penutur bahasa itu sebagai anggota masyarakat. 

Kita perlu mengetahui ataupun perlu belajar ilmu Sosiolinguistik ini kerana ia sangat berkait rapat dengan kehidupan kita. Melalui ini, kita dapat mengetahui pelbagai perkara berkaitan dengan bahasa dan masyarakat. Setelah membuat tugasan, barulah timbul kesedaran mengenai kepentingan ilmu ini. Sebelum ini, aku tidak dilatih untuk membuat kajian tentang bahasa secara bersiri ataupun dalam bentuk diari harian seperti ini. 

                                                                                                      
  

novel Islamik ( VT )


Akhirnya dalam masa dua hari, habis juga aku membaca novel motivasi remaja yang dipinjam dari sahabatku. Tajuk novel tersebut ialah VT. Pandangan awal bagi aku adalah novel tersebut nampak membosankan, namun setelah membacanya, ia mampu mengubah pandanganku tadi kearah satu pandangan yang baru iaitu novel tersebut sangat menarik. 




Novel ini mengisahkan  perjuangan islam menerusi sukan bola tampar di Ma'ahad At Tarbiyyah al-Islamiyyah, MATRI. Sukan ini dianggap juga sebagai ibadah. Pada awal penceritaan, telah diceritakan perpecahan dalam kalangan ahli pasukan bola tampar MATRI yang menyebabkan pasukan ini akan dibubarkan. Seterusnya, penulis memuatkan juga masalah-masalah yang dihadapi oleh ahli-ahli pasukan bola tampar itu. Mereka mempunyai masalah keluarga dan juga masalah disiplin di sekolah. Kemudian, muncul watak Ustaz Hussan yang telah berjaya mengubah ssikap ahli-ahli Volleyball Team, VT. Hussam menggalas cabaran merawat dua belas pemain yang pelbagai masalah dan ego. 

Satu situasi yang perlu diambil perhatian ialah menerusi watak Cikgu Senan, jurulatih pasukan lawan iaitu pasukan SSNP yang telah menggunakan pelbagai  cara kotor dalam memenangi perlawanan sehingga sanggup membunuh. Ini adalah contoh petikan yang dipetik daripada novel tersebut; 

" Ustaz, ambil sahajalah."
" Cikgu, saya bertegas ni."
" Ustaz jangan berlagak sangat. Ustaz fikir kumpulan Ustaz boleh menangkah? Dari kalah tidak dapat apa-apa, baik Ustaz ambil duit ni. "
" Kalau begitu, apa yang Cikgu perlu takutkan? "
" Saya ada reputasi yang perlu saya jaga "
" Semata-mata anugerah itu, cikgu sanggup melanggar arahan Allah SWT? "

Ulasanku : Melalui dialog perbualan diatas jelas menunjukkan sikap Cikgu Senan yang sanggup merasuah Ustaz Hussam dengan duit yang banyak bagi memenangi perlawanan tersebut. Namun, Ustaz lebih bijak bertindak dan tetapkan keimanan supaya tidak terpengaruh dengan godaan keduniaan semata-mata. Cikgu Senan sanggup juga melanggar arahan Allah SWT demi kejayaan dan nama. Bahasa yang digunakan oleh Cikgu Senan kasar, namun telah dibalas oleh Ustaz dengan berhemah. Inilah realiti kehidupan sekarang. Kita leka dan hanya sibuk dalam mengejar kejayaan, pangkat dan nama sehingga lupa pada hari pembalasan. Masyarakat sekarang sibuk mengejar dunia dari akhirat. Oleh itu, novel motivasi ini haruslah dibaca dan dijadikan pegangan memandangkan mempunyai sentuhan islami yang berkesan. Ia menyantap minda dan rohani. 

Kepercayaan orang Melayu






Teringat kembali peristiwa malam semalam. Ketika Kak Wanie ingin pulang ke Kuala Lumpur, Abah berpesan supaya bawa sekali lada hitam dan diikat dalam kain lampin anaknya. Ini adalah kepercayaan masyarakat Melayu. Menurut abah, tidak elok berjalan malam bawa anak kecil. Jadi untuk ciri-ciri keselamatan daripada gangguan makhluk halus, lada hitam diikat dalam lampin Yaya. Kepercayaan orang dahulu kadang-kadang ada benarnya. Tidak salah kita mengikutinya asalkan tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Sediakan payung sebelum hujan rasanya lebih baik daripada mendengar guruh di langit air di tempayan dicurahkan. 

facebook

Prof Abdullah Hassan mengajar kami Karya Agung. Beliau selalu menegur mengenai bahasa yang digunakan dalam facebook. Beliau berkata bahasa yang digunakan adalah bahasa yang merosakkan bahasa Melayu. Kita perlulah menggunakan bahasa yang baik semasa berhubung dalam facebook. Menurut beliau, tidak salah kita berfacebook tetapi hendaklah pandai menjaga batas pergaulan dan juga penggunaan bahasa yang baik. Ini dapat melatih kita untuk pandai berbahasa dan memartabatkan bahasa Melayu walaupun melalui facebook sahaja. Terdapat pelbagai ragam bahasa yang terdapat dalam facebook termasuklah juga ejaan yang terlalu ringkas yang tidak mempunyai maksud pun jika dilihat dari sudut bahasa. 


Pantun Budi

Hari ini aku dan ahli kumpulan yang lain berbincang mengenai Rancangan Pengajaran Harian bagi mata pelajaran bahasa Melayu tingkatan dua. Kami memilih untuk mengajar komsas iaitu pantun budi. Kami dikehendaki mengajar dalam masa 40 minit seramai empat orang dalam setiap kumpulan. Jadi aku ingin berkongsi mengenai pantun. 

Pantun ialah puisi milik orang Melayu. Bentuk-bentuk pantun yang paling popular ialah pantun dua kerat dan pantun empat kerat. Contohnya, 

Gendang gendut tali kecapi,
Kenyang perut suka hati.         (Pantun dua kerat )

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga.     ( Pantun empat kerat)

Sebenarnya dalam pantun juga mempunyai nilai dan pengajaran. Terdapat mesej yang ingin disampaikan melalui pantun. Jika kita menyampaikannya dalam bentuk pantun, maka ini akan lebih menarik dan lebih indah. Bahasa yang digunakan juga puitis menjadikan pantun itu lebih indah didengari. 

bahasa kebangsaan


Bahasa Kebangsaan merupakan sebuah bahasa yang melambangkan identiti kebangsaan sesuatu bangsa atau negara yang unik. Bahasa Kebangsaan juga diangkat menjadi bahasa utama sesebuah negara yang berdaulat dan lazimnya digunakan sebagai bahasa rasmi negara tersebut. Bahasa Kebangsaan merupakan lambang jati diri negara. Terdapat juga negara yang mempunyai lebih daripada satu bahasa Kebangsaan iaitu Kanada yang menggunakan bahasa Perancis dan bahasa Inggeris sebagai bahasa Kebangsaan. 

komen : Melalui ulangkaji yang dibuat, aku dapat mengetahui serba sedikit mengenai bahasa Kebangsaan kita iaitu bahasa Melayu yang dijadikan sebagai bahasa Kebangsaan seperti yang telah termaktub dalam Perkara 152. Betapa sukarnya proses dalam pemilihan bahasa Kebangsaan kerana telah mendapat banyak tentangan apabila ingin menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan di Malaysia. Namun, setelah usaha gigih daripada pihak kerajaan, kita berjaya mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan Malaysia.